KUALA LUMPUR, 25 Mac — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac ini dan berterusan sehingga Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata perubahan musim itu lazimnya membawa keadaan angin lemah dari pelbagai arah yang berpotensi mencetuskan pembentukan awan ribut petir.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kawasan yang dijangka terkesan termasuk negeri-negeri di bahagian barat dan pedalaman Semenanjung, selain kawasan barat Sabah serta Sarawak.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada sepanjang tempoh berkenaan kerana fenomena cuaca tersebut berisiko mengakibatkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Dalam pada itu, MetMalaysia menggesa orang ramai agar sentiasa mengikuti maklumat terkini berkaitan ramalan dan amaran cuaca melalui saluran rasmi termasuk laman sesawang jabatan, aplikasi myCuaca serta platform media sosial.
Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638 bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan keadaan cuaca semasa.
TAMAT
