SANDAKAN, 3 Mac – Seramai empat lelaki ditahan dalam operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, awal pagi hingga lewat pagi Selasa.
Operasi yang bermula kira-kira jam 1 pagi hingga 11 pagi itu memberi tumpuan kepada beberapa premis pusat hiburan di Batu 4 serta sekitar Bandar Leila, di sini, menerusi pelaksanaan Ops Pusat Hiburan dan Ops Tapis Narkotik.
Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memasukkan dadah ke dalam badan masing-masing. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine atau syabu. Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada hari sama, pasukan operasi turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan di lokasi berasingan kerana disyaki memiliki dadah jenis sama. Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.
Selain itu, seorang lagi lelaki yang sebelum ini ditahan atas kesalahan jenayah turut menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif amphetamine serta methamphetamine. Kesemua suspek kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, menegaskan operasi berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan di lokasi berisiko tinggi termasuk pusat hiburan bagi memastikan Sandakan bebas daripada ancaman dadah. ancaman dadah.
TAMAT
