LAHAD DATU, 5 JULAI – Liga Bola Sepak Kelab Bola Sepak Cahaya Mulia (CMC FC) Edisi Ke-4 2026 membuka tirainya dengan penuh bergaya apabila 16 pasukan terbaik tempatan memulakan cabaran memburu kejuaraan musim ini sekali gus memperkukuh usaha pembangunan bola sepak akar umbi di daerah ini.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga bulan bermula 4 Julai hingga 5 September depan itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Kompleks Sukan Lahad Datu.
Aksi pembukaan menyaksikan API FC menjulang Piala Sumbangsih (Piala Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah) selepas menewaskan KBLK FC dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Sebanyak 16 pasukan akan berentap sepanjang kejohanan yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 3 petang hingga 6 petang di dua venue utama iaitu Kompleks Sukan Lahad Datu dan Padang Marin Lahad Datu.
Presiden CMC FC merangkap Pengerusi Penganjur, Ismail Idris berkata, penganjuran edisi keempat itu membuktikan komitmen berterusan kelab berkenaan dalam menyediakan platform pertandingan yang mampu mencungkil bakat baharu serta memperkasakan pembangunan bola sepak di Lahad Datu.
Menurutnya, kejohanan itu bukan sekadar medan memburu kejuaraan malah menjadi wadah membentuk disiplin, memupuk semangat kesukanan, mengeratkan silaturahim dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia serta masyarakat.
“Penganjuran yang memasuki tahun keempat ini membuktikan kesungguhan semua pihak untuk terus memartabatkan bola sepak di Lahad Datu.
” Kami berharap lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan menerusi kejohanan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, agensi kerajaan, penaja, sukarelawan serta rakan strategik yang terus memberikan sokongan terhadap kejohanan berkenaan.
Dalam pada itu, Ismail turut mengemukakan permohonan kepada kementerian agar kemudahan di Kompleks Sukan Lahad Datu dapat dinaik taraf termasuk pemasangan lampu limpah dan pembinaan pagar keselamatan bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan atlet dan pengguna.
Katanya, kemudahan yang lebih lengkap amat penting bagi membolehkan latihan serta pertandingan dijalankan dengan lebih teratur dan memenuhi keperluan komuniti sukan yang semakin berkembang di daerah ini.
“Pelaburan dalam kemudahan sukan bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi merupakan pelaburan untuk melahirkan generasi belia yang sihat, berdisiplin, berdaya saing dan bebas daripada gejala sosial,” katanya.
Beliau berharap permohonan itu mendapat perhatian kerajaan negeri demi memastikan pembangunan sukan di Lahad Datu terus diperkasakan sekali gus melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang mampu mengharumkan nama daerah dan Sabah.
