MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP PETROL DAN MOTOSIKAL KE NEGARA JIRAN

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,17 Oktober – Cubaan menyeludup keluar 240 liter petrol dan sebuah motosikal jenis Yamaha ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Felda Sahabat, Tungku, pada 14 Oktober lalu.

Rampasan membabitkan barangan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM50,000 itu dilakukan menerusi operasi bersepadu Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.

Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi berdasarkan maklumat risikan itu mengesan sebuah bot berenjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.35 batu nautika barat daya Kampung Sinakut Tengah.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa yang cuba menghampiri untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut bot ke arah pesisir pantai sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 12 gelen petrol dengan anggaran keseluruhan 240 liter serta sebuah motosikal jenis Yamaha.

Kesemua barangan kawalan dan kenderaan berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran secara tidak sah.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Bot bersama semua barang rampasan kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan rondaan terancang bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999.

Share This Article