DUA LELAKI WARGA ASING DITAHAN, SYABU BERNILAI RM250 DIRAMPAS DI TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 18 JUN – Polis menahan dua lelaki warga asing dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Tawau semalam dengan rampasan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM250.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 3.30 petang di sebuah bilik sewa di kawasan Takada melibatkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui syabu seberat 0.03 gram dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.

“Susulan itu satu lagi operasi dijalankan kira-kira jam 5.30 petang di kawasan hutan Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 12 paket syabu seberat 5.65 gram yang dipercayai cuba dibuang oleh suspek sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM250 dan keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek kedua turut mendapati lelaki itu positif amphetamine serta methamphetamine.

Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Wilynton berkata, polis akan terus mempergiat operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.

Share This Article