MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 510 LITER PETROL DI SANDAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 29 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 510 liter petrol dalam satu operasi di perairan Muara Sungai Mangkalinau Besar, semalam.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain, berkata bot mencurigakan itu dipintas ketika rondaan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0 dijalankan.

Bagaimanapun, seorang lelaki yang dipercayai tekong bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai, meninggalkan bot bersama muatannya.

Pemeriksaan menemukan 17 jerican berisi 510 liter petrol serta sebuah enjin sangkut Yamaha 40HP. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM12,500.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002. Maritim Malaysia kini giat mengesan suspek dan menegaskan operasi membanteras penyeludupan akan terus diperkukuhkan bagi menjaga keselamatan perairan negara.-Oleh : Jalie Mohamad

Share This Article