LAHAD DATU,5 JULAI- Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh pembangunan sukan apabila mengumumkan komitmen untuk menaik taraf kesemua 18 kompleks sukan di seluruh negeri secara berperingkat sekali gus menyediakan kemudahan lebih berkualiti bagi melahirkan atlet dan bakat bola sepak bertaraf profesional.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha itu membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan setiap fasiliti sukan berada pada tahap terbaik kerana ia bukan sahaja menjadi medan pembangunan atlet, malah mencerminkan imej serta reputasi kementerian.
Beliau berkata demikian kepada berucap merasmikan Kejohanan Liga Bola Sepak Kelab Cahaya Mulia (CMC FC) Edisi Ke-4 di Kompleks Sukan Lahad Datu, pada Sabtu.
Menurutnya, sebagai langkah susulan satu lawatan rasmi akan diadakan pada 11 Julai ini bagi meninjau keadaan Kompleks Sukan Lahad Datu serta bangunan Arena Belia bagi mengenal pasti keperluan penaiktarafan secara lebih menyeluruh.
Katanya, kementerian turut merancang kerja penyelenggaraan besar-besaran di Kompleks Sukan Likas termasuk menaik taraf padang rumput dan sistem lampu manakala Kompleks Sukan Tawau akan diberi keutamaan bagi memenuhi piawaian penganjuran perlawanan Liga Super Malaysia (MSL).
Beliau berkata, penyediaan prasarana sukan yang moden dan berkualiti diyakini mampu menyemarakkan lagi penganjuran kejohanan di peringkat akar umbi termasuk Liga Bola Sepak CMC FC di Lahad Datu sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda menyerlahkan bakat mereka.
Tambahnya, kerajaan negeri optimis pelaburan dalam pembangunan fasiliti sukan akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai atlet dan pemain bola sepak Sabah yang mampu bersaing di pentas profesional serta mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.
