MUAR, 19 JULAI- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meneruskan komitmen membantu rakyat di kawasannya sejurus menamatkan Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar pagi ini.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau memaklumkan sebanyak 1,000 bakul makanan, 51 unit iPad serta biasiswa pendidikan berjumlah RM61,400 akan diagihkan kepada penerima bermula jam 12 tengah hari.
Syed Saddiq turut berkata jumlah keseluruhan sumbangan berserta bukti resit akan dikongsikan kepada orang ramai pada sebelah malam.
Terdahulu, beliau menamatkan larian di Laman Maharani kira-kira jam 9.15 pagi selepas memulakan cabaran berkenaan pada 16 Julai sebagai tanda kesyukuran susulan pembebasannya daripada lima pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.
Misi itu turut berjaya mengumpulkan RM361,848 bagi membantu penduduk Muar melalui penyediaan bakul makanan, pembelian iPad dan bantuan pendidikan sekali gus melepasi sasaran asal RM200,000.
