BATU SAPI – Ahli Parlimen Batu Sapi, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, akan menyalurkan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembinaan dan pembinaan semula jeti di tiga kampung pesisir pantai dalam kawasan Parlimen berkenaan.
Antara projek yang dikenal pasti ialah pembinaan jeti baharu di Kampung Istimewa dan Kampung Cenderamata, manakala jeti di Kampung Disayang akan dibina semula bagi menggantikan struktur sedia ada yang memerlukan penambahbaikan.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kemudahan asas penduduk setempat, khususnya komuniti nelayan yang bergantung kepada infrastruktur jeti untuk urusan harian termasuk pendaratan hasil laut dan pergerakan ke bandar.
Sebelum ini, tumpuan pembinaan jeti lebih terarah kepada kampung di zon kepulauan. Justeru, pelaksanaan projek di kawasan pesisir pantai tanah besar ini dijangka melengkapkan jaringan kemudahan sedia ada serta meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.
Peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan seimbang di seluruh kawasan Parlimen Batu Sapi.
TAMAT
