LAHAD DATU, 1 Januari 2026 – Beruang Matahari telah dipilih sebagai Maskot Rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus melambangkan komitmen negara terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti khususnya di Sabah.
Program sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 itu dilaksanakan secara serentak di pintu masuk utama negara serta hab pengangkutan strategik termasuk di Lapangan Terbang Lahad Datu, pagi ini.
Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, T. Tzahrin Mohd Tahir berkata program berkenaan merupakan hasil kolaborasi strategik antara Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah (Sabah Tourism Board), Malaysia Airlines serta Pejabat Daerah Lahad Datu bagi memperkukuh promosi pelancongan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri acara sambutan berkenaan yang turut menyaksikan para penumpang pesawat yang selamat tiba di daerah itu diraikan dengan kalungan rantai manik sebagai simbol sambutan mesra serta warisan budaya tempatan.
Menurutnya, pelaksanaan program promosi di lapangan terbang seluruh negara bertujuan meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan Sabah kekal sebagai antara tarikan utama.
Mengulas lanjut beliau berkata Lahad Datu memiliki pelbagai tarikan pelancongan alam semula jadi yang unik antaranya Lembah Danum dan Rizab Hidupan Liar Tabin yang terkenal dengan ekosistem hutan hujan tropika selain Blue Ring Reef yang menjadi tumpuan peminat aktiviti marin dan selam skuba.
Selain itu Teluk Darvel yang merangkumi 56 buah pulau turut menawarkan gabungan pengalaman hutan dan laut yang berpotensi menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa.
Beliau menyatakan harapan agar peningkatan jumlah pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat di samping memberi limpahan manfaat kepada pengusaha industri pelancongan serta peniaga kecil di daerah itu.
Dalam pada itu aspek keselamatan dan reputasi negara terus menjadi keutamaan bagi memastikan industri pelancongan tidak terjejas oleh sebarang insiden yang boleh mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.
“Usaha ini juga bertujuan mengangkat profil Lahad Datu supaya setanding dengan destinasi pelancongan popular lain di Sabah, katanya.
TAMAT
