Pekan Beaufort Tenggelam, Urus Niaga Terhenti

sabahheadlines
1 Min Read

BEAUFORT, 26 Feb – Kegiatan ekonomi di Pekan Beaufort terhenti sepenuhnya apabila limpahan air dari Sungai Padas menenggelamkan hampir keseluruhan kawasan bandar berkenaan hari ini.

Paras sungai yang meningkat sejak awal pagi dilaporkan melimpah ke jalan utama sebelum menenggelami rangkaian jalan di sekitar pekan, sekali gus menyebabkan semua laluan tidak boleh dilalui oleh sebarang jenis kenderaan.

Tinjauan mendapati kebanyakan premis perniagaan dimasuki air di bahagian tingkat bawah, memaksa peniaga menutup operasi bagi mengelakkan kerugian lebih besar. Selain deretan kedai, kemudahan awam turut terjejas termasuk stesen kereta api yang menjadi penghubung penting antara Beaufort dengan Kota Kinabalu serta penempatan di kawasan hulu sungai.

Gangguan itu menjejaskan pergerakan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan rel sebagai laluan alternatif, khususnya ketika jalan darat dinaiki air.

Beberapa pejabat dan fasiliti kerajaan di sekitar pekan, antaranya Pejabat Daerah, Klinik Kesihatan, Klinik Pergigian serta sekolah berhampiran, turut terkesan apabila kawasan sekitarnya ditenggelami banjir.

Setakat ini, pihak berkuasa memantau rapi keadaan paras air sungai dan menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan serta mengelakkan pergerakan ke kawasan yang dinaiki air.

TAMAT

Share This Article