KOTA KINABALU, 15 SEPT – Sebanyak 1,551 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh Sabah bagi tempoh 1 Mac hingga 13 September 2026, dengan kawasan belukar dan alang menyumbang jumlah tertinggi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, YS PKPjB Mohd Pisar bin Aziz berkata, analisis mengikut suku tahun menunjukkan Sukuan 2 (April hingga Jun) merekodkan jumlah tertinggi iaitu 655 kes atau 42.2 peratus.
Katanya, ia diikuti sukuan 3 sebanyak 470 kes (30.3 peratus) manakala Sukuan 1 merekodkan 426 kes (27.5 peratus).
Daripada keseluruhan kes berkenaan, kategori belukar dan alang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,012 kes (65.2 peratus) diikuti kebakaran hutan sebanyak 381 kes (24.6 peratus).
Sehubungan itu Mohd Pisar menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka khususnya ketika keadaan cuaca kering yang boleh menyebabkan api merebak dengan pantas serta sukar dikawal.
“Keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengelakkan pembakaran terbuka, segera memadamkan sebarang punca api dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, JBPM Sabah akan terus memperkukuhkan pemantauan hotspot, kesiapsiagaan operasi serta usaha pendidikan dan kesedaran awam bagi mengurangkan risiko kebakaran terbuka di seluruh negeri.
Orang ramai turut diseru supaya cegah, sedar dan lapor bagi memastikan Sabah kekal hijau dan selamat.
