SANDAKAN, 11 APRIL– Usaha memperkukuh pasaran pekerjaan khususnya di Sabah terus diberi perhatian apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan merasmikan Konvensyen Revolusi Perburuhan sempena Jelajah Pendidikan Perburuhan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah 2026 di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini.
Program tersebut menghimpunkan lebih 20 agensi serta jabatan kerajaan dan swasta dalam usaha memperluas kesedaran berkaitan hak pekerja, peluang kerjaya dan pematuhan undang-undang buruh.
Antara agensi yang terlibat termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta beberapa agensi lain.
Dalam ucapannya beliau menegaskan keperluan kerjasama pelbagai pihak bagi mempergiat usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya di Sabah yang masih berdepan cabaran kadar pengangguran yang tinggi.
Menurutnya, situasi itu turut menyaksikan sebahagian besar golongan belia terpaksa berhijrah ke Semenanjung bagi mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup keluarga.
Sehubungan itu beliau turut mengingatkan majikan agar sentiasa mematuhi kadar gaji minimum serta peraturan pekerjaan yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.
Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi dan jabatan yang terlibat sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dalam menjayakan Jelajah Pendidikan Perburuhan JTK Sabah.
Program berkenaan turut diisi dengan lawatan ke pameran agensi serta sesi interaksi bersama wakil sektor awam dan swasta, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam pembangunan tenaga kerja negeri.
