MP TAWAU LEPAS KERUSI DUN SRI TANJONG PRN 17

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh


TAWAU: 12 Ogos –Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin hari ini mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas di peringkat pusat serta memberi peluang kepada generasi muda dalam parti untuk mengetengahkan kepimpinan baharu.

“DAP sentiasa mempunyai pasukan pelapis. Di Tawau, saya melihat ramai calon muda yang berpotensi, segak dan bersedia untuk ditonjolkan.

“Saya sudah dianggap generasi veteran di Sabah, jadi tidak wajar mengambil terlalu banyak kerusi. Lebih adil jika peluang ini diberikan kepada generasi muda untuk memikul tanggungjawab tersebut. Saya yakin mereka mampu membawa parti ke hadapan,” katanya yang juga Penolong Pengarah Dasar DAP.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Libat Urus: Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Hotel Emas, di sini.

Mengenai jumlah kerusi ditandingi, Chan yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah menegaskan, parti itu mahu mempertahankan enam kerusi sedia ada termasuk dua yang beralih kepada WARISAN pada PRN lalu, selain menyasarkan tambahan dua lagi kerusi baharu.

“Kita mahu ambil semula kerusi tersebut kerana ketika menang dahulu, walaupun menggunakan bendera WARISAN, undi itu sebenarnya adalah untuk Pakatan Harapan dan DAP.

“Berdasarkan perkembangan semasa, kita yakin mampu menang sekurang-kurangnya lapan kerusi,” ujarnya.

TAMAT

Share This Article