SANDAKAN,5 MEI- Minggu lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Tun Musa memaklumkan penduduk Kampung Luboh telah menerima bekalan air bersih.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada Sidang DUN Sabah.
Hari ini beliau turun ke kampung itu untuk menyaksikan bekalan air bersih itu benar-benar berfungsi dan ternyata makluman yang diberi kepadanya seminggu sebelum Sidang DUN Sabah betmula adalah benar.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan dan ucapan ini juga saya suarakan pada Sidang DUN lalu,” katanya kepada media di sini hari ini.
Hazem sebelum itu menyantuni penduduk Kampung Luboh yang berada dalam DUN Sungai Manila.
Beliau berkata, masalah bekalan air di kampung itu sudah lama berlaku.
Katanya, masalah itu dikesan oleh UPPM Sungai Manila.
“Masalah itu berpunca disebabkan ada paiip bocor dan apa yang kita suarakan telah mendapat perhatian kerajaan khususnya jabatan air,” katanya lagi.
Beliau berkata, masalah yang berlaku di Kampung Luboh itu telah disuarakan kepada Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.
“Saya memberitahu menteri bahawa masalah bekalan air di beberapa tempat di Sandakan berlaku dalam tempoh tiga empat hari tetapi di Kampung Luboh berlaku lebih tujuh tahun …ada juga yang menyatakan sembilan tahun,” katanya lagi.
