SABAH PERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI HAB TENAGA SERANTAU MELALUI PEMBANGUNAN SOGIP

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 14 APRIL – Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Sabah Oil & Gas Development Corporation bersama rakan strategik antarabangsa serta menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan pembangunan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas Industrial Park.

Kunjungan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga serantau melalui kerjasama antara SOGDC dan rakan industri global termasuk ACWA Power, Aboitiz Power, WEC serta penglibatan awal Saudi Aramco.

Delegasi SOGDC diketuai oleh PengerusinyaShahelmey Yahya bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli.

Cadangan pembangunan tersebut merangkumi pembinaan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan seluas kira-kira 275 ekar.

Projek ini akan melibatkan kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.

Sebagai komponen utama kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW). Aboitiz Power pula meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga manakala WEC mempertimbangkan pembinaan jeti dan tangki simpanan.

Ketua Menteri berkata, inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.

“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.

“Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas, di samping meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Share This Article