Banjir Sabah: Hampir 5,000 Penduduk Terjejas, Trend Mangsa Di PPS Meningkat

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 22 Februari — Situasi bencana banjir di beberapa daerah di Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 4,946 penduduk daripada 2,121 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan terjejas setakat jam 4 pagi hari ini.

Menurut laporan rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, trend kemasukan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) didapati meningkat khususnya di daerah Paitan dan Kota Belud.

Secara keseluruhan, empat daerah utama terlibat iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Kota Belud, melibatkan sebanyak 80 kampung yang terjejas akibat banjir dan satu kejadian kebakaran.

Di Kota Marudu, seramai 1,929 penduduk daripada 781 KIR ditempatkan di beberapa PPS termasuk SMK Tandek, SK Taritipan dan SMK Bandau.

Sementara itu di Pitas, seramai 2,120 mangsa daripada 1,054 KIR berlindung di beberapa pusat seperti Dewan Majlis Daerah, SK Pekan II dan Dewan Kusilad.

Daerah Paitan mencatatkan peningkatan mangsa dengan 847 penduduk daripada 270 KIR dipindahkan ke beberapa PPS antaranya SMK Simpangan, Dewan Binsulung dan Masjid Kampung Simpangan.

Di Kota Belud pula seramai 50 mangsa daripada 16 KIR dipindahkan ke Dewan Kampung Melangkap Tiong susulan kejadian kebakaran.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada kematian direkodkan akibat bencana berkenaan manakala semua mangsa terus menerima bantuan dan pemantauan daripada agensi berkaitan.

Pusat Kawalan Bencana Negeri memaklumkan situasi akan terus dipantau dari semasa ke semasa khususnya di kawasan berisiko tinggi berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

TAMAT

Share This Article