SANDAKAN,27 JULAI-Proses pemindahan lebih 40 jenazah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Sim-Sim, tiga bulan lalu berjalan lancar.
Kesemua jenazah dikebumikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad di kawasan rata di tapak perkuburan yang sama.
Operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sandakan, Polis Diraja Malaysia, jawatankuasa tanah perkuburan, waris serta penduduk setempat.
Ketika ditemui Media, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Rahmin Arman berkata, pemindahan itu juga dilakukan mengikut nasihat Mufti Sabah agar semua jenazah disemadikan semula secara berjemaah dalam satu liang yang bersesuaian selaras dengan hukum syarak dan bagi menjaga kemuliaan jenazah.
Ia turut disaksikan Pengarah JHEAINS menerusi panggilan video bagi memastikan proses berjalan mengikut tertib dan lancar.
Dalam pada itu kawasan perkuburan yang terjejas turut dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan larangan pengebumian pada masa hadapan bagi mengelakkan risiko serta menjamin keselamatan orang ramai.
Turut hadir dalam proses pemindahan itu, Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, DSP Sham Osman, Timbalan Presiden MPS, Farizal Setoh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Papat, Evey Baizurah Kamarudin, dan Pengerusi Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim, Aslan Ebel.
