KOTA KINABALU,11 November – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru semua pihak supaya terus mempergiat usaha penerokaan, penyelidikan dan penerbitan buku dalam pelbagai genre bagi menyuburkan industri perbukuan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Sabah.
Beliau berkata, penerbitan buku yang merangkumi bidang bahasa, sastera, budaya, kesenian, adat resam dan khazanah alam perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan kekayaan ilmu, sejarah dan warisan negeri ini dapat didokumentasikan untuk tatapan generasi akan datang.
Katanya, semua pihak perlu memberikan sokongan dan dukungan terhadap usaha memperkasa industri perbukuan tempatan supaya penerbitan buku bukan sekadar memenuhi rak perpustakaan, kedai buku atau platform digital tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu dalam masyarakat.
“Industri perbukuan juga haruslah dilihat sebagai pemangkin budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya sempena Majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025/2026 dan Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2024/2025 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji turut menyeru warga akademik, penyelidik, pensyarah dan golongan profesional di Sabah supaya lebih prolifik menghasilkan karya berkualiti yang mampu menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
Katanya, penghasilan karya yang bermutu tinggi bukan sahaja dapat merakam pemikiran dan khazanah ilmu tempatan, malah menyumbang kepada pembentukan legasi pemikiran Sabah yang progresif.
“Hasilkanlah karya-karya yang mampu menjadi rujukan dunia, merakam pemikiran besar kita, dan menyumbang secara langsung kepada pembentukan legasi pemikiran Sabah yang progresif.
“Teruslah prolifik berkarya agar selari dengan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengangkat bandar raya Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera atau City of Literature,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, cabaran geografi Sabah memerlukan komitmen dan kerjasama strategik lebih erat antara agensi Persekutuan dan negeri, termasuk DBP Cawangan Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, institusi pengajian tinggi serta pihak swasta.
Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan masyarakat khususnya kanak kanak di kawasan pedalaman dan pulau-pulau termasuk di Semporna tidak ketinggalan menikmati akses kepada bahan bacaan berkualiti.
Katanya, peluasan perkhidmatan perpustakaan bergerak dan pengukuhan capaian digital antara langkah yang perlu diberikan perhatian bagi merapatkan jurang literasi dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited memperkasakan bahasa kebangsaan dan persuratan tempatan menerusi penggunaan teknologi pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, industri buku di Sabah perlu berkembang melangkaui penerbitan fizikal dengan memanfaatkan platform digital bagi memperluas jangkauan pembaca.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta agensi berkaitan untuk memperluas geran, ruang, dan peluang penyelidikan buat penulis-penulis tempatan,” katanya.
Menurutnya, usaha memperkasa industri perbukuan juga selaras dengan agenda Pemerkasaan Modal Insan Berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan berilmu, beridentiti dan mempunyai jati diri kukuh.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kekayaan kepelbagaian etnik, budaya, sejarah serta khazanah alam yang menjadi sumber penting untuk penghasilan karya ilmiah dan umum.
Justeru, katanya potensi itu perlu diterokai dan didokumentasikan supaya warisan serta keunikan negeri ini terus terpelihara.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah dan penulis tempatan yang karya mereka dilancarkan pada majlis berkenaan.
Katanya, para penulis memainkan peranan penting sebagai ejen pembudayaan ilmu dan pemangkin kepada perkembangan industri perbukuan negara.
