SEMPORNA, 22 Januari 2026 – Seorang anggota polis dilaporkan lemas ketika menjalani latihan menyelam di kawasan perairan Pulau Mataking, hari ini.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 10.25 pagi apabila anggota tersebut dilaporkan tidak sedarkan diri semasa menyelam.
Bantuan pertolongan cemas (CPR) segera diberikan oleh staf Reef Dive Resort bersama anggota pasukan VAT 69 sebelum beliau dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
Makluman kecemasan berhubung kejadian Itu diterima daripada pihak resort pada jam 10.25 pagi.
Sehubungan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan salam takziah atas pemergian seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban ketika menjalani latihan menyelam di Pos Gabungan PDRM-ATM di Pulau Mataking, Semporna, Sabah menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Beliau memaklumkan bahawa pegawai kanan polis Itu telah terkorban dalam insiden tersebut dan menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan PDRM serta warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam hantaran sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman, selain dianugerahkan pahala atas segala jasa dan pengorbanan beliau kepada negara.
TAMAT
