UMS, Universitas Borneo Tarakan Meterai MoA Perkukuh Kerjasama Rentas Sempadan

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 14 Januari 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Borneo Tarakan (UBT), Indonesia memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang mobiliti akademik, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran pelajar dan staf, selari usaha memperkasa hubungan rentas sempadan Sabah–Kalimantan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pemeteraian MoA itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh perkongsian kedua-dua institusi, khususnya menerusi penganjuran seminar bersama, inisiatif berasaskan komuniti serta pembangunan ilmu yang mampan.

Menurut beliau, kerjasama tersebut turut mencerminkan visi bersama UMS dan UBT dalam memajukan pengetahuan, memupuk inovasi serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan lestari di rantau Borneo.

Beliau berkata demikian sempena program 12th International Mobility Seminar bertemakan Regional Perspectives on Sabah–Kalimantan Cross-Border Relations yang berlangsung di Mini Auditorium, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, UMS.

Pada majlis itu, Kasim mewakili UMS menandatangani MoA, manakala UBT diwakili Dekan Fakulti Ekonomi, Dr. E. Mohamad Nur Utomo bagi pihak Rektor UBT, Prof. Dr. Yahya Ahmad Zain.

Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim.

TAMAT

Share This Article