Tujuh Vesel Nelayan Filipina Dicekup Ceroboh Perairan Pulau Balambangan

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT,7 FEBRUARI- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan tujuh Vesel Nelayan Asing (VNA) warga Filipina yang menceroboh perairan negara di sekitar Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan, pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pencerobohan itu dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dua buah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tujuh vesel tersebut dikendalikan oleh 21 individu termasuk tekong, berusia antara 17 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau kesemua vesel bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel, Sabah Port Kudat bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM100,000.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam pada itu beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan perairan negara dan akan terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan khususnya di perairan berisiko tinggi.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

TAMAT

Share This Article