LAHAD DATU, 25 Januari 2026 – Tiga lelaki mengalami kecederaan selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di Kilometer 13, Jalan SMK Segama, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.02 pagi itu, kesemua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Ketua Operasi, PBK I Mohamad Akbar bin Muhammbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.12 pagi dan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas lalu jatuh ke dalam gaung.
“Terdapat tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan dan operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA),” katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa naik ke atas jalan menggunakan tali dan pengusung (stretcher).
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat turut dibantu oleh dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.17 pagi.
TAMAT
