LAHAD DATU, 4 FEB – Seorang lelaki warga emas berjaya diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat selepas terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Wawasan Dua, Lahad Datu, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan pada jam empat satu minit petang melalui talian NG999.
Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu digerakkan ke lokasi dan tiba hanya empat minit kemudian, kira-kira tiga kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Mohammad Akbar bin Mohambar berkata, setibanya di lokasi, seorang lelaki berusia 72 tahun didapati terperangkap di kawasan dinaiki air.
Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat menggunakan tali penyelamat sebelum dibawa ke kawasan selamat.
Operasi yang turut diketuai Pegawai Kanan PKPgB Sumsoa bin Rashid itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam lima tiga puluh petang dan tamat 16 minit kemudian.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak keluarga dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
TAMAT
