SEORANG MANGSA LUMPUH BERJAYA DIPINDAHKAN

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 4 FEB-Seorang mangsa lumpuh berjaya dipindahkan dengan selamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terperangkap di dalam rumah akibat banjir di Kampung Indah Jaya, di sini, petang tadi.

Menurut kenyataan JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 3.45 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian iaitu pada jam 3.50 petang.

Komander Operasi, PBK I Mohammad Akbar bin Mohambar, berkata setibanya di lokasi pasukan bomba mendapati seorang mangsa lumpuh terperangkap di dalam rumah akibat paras air banjir yang meningkat.

“Pasukan bomba segera membuat penilaian awal (size up) dan seterusnya memindahkan mangsa ke rumah ahli keluarganya yang berada di kawasan selamat menggunakan pengusung (stretcher),” katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya dipindahkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan lanjut.

Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.55 petang dan ditamatkan tiga minit kemudian tanpa sebarang kecederaan melibatkan mangsa mahupun anggota bomba.

Seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan tiga jentera, masing-masing sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Fire Rescue Vehicle (FRV) dan Toyota DMAX.

Tiada penglibatan agensi lain dilaporkan dalam operasi berkenaan.

TAMAT

Share This Article