HUJAN LEBAT MENGAKIBATKAN BANJIR KILAT, BEBERAPA KAWASAN TERJEJAS

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 4 FEB-
Hujan lebat berterusan sejak tengah hari Rabu mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Lahad Datu sekali gus menjejaskan kawasan perumahan dan laluan utama.

Antara kawasan terjejas termasuk Fajar Centre, Jalan Segama Lama, Kampung Batu Satu, Kampung Batu Dua, Bandar Tabanak, Kampung Tabanak, kawasan bandar Lahad Datu, Jalan Singgamata, Kampung Pisang, Kampung Pancuran, Dam Road, Palm Garden, Palm Heights Residence serta Jalan Tengah Nipah.

Difahamkan, hujan lebat bermula kira-kira jam satu petang sebelum paras air meningkat sekitar jam tiga petang.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila pada jam tiga empat puluh petang, Jalan Singgamata dilaporkan tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil akibat dinaiki air.

Dalam kejadian itu, sebuah rumah di Kampung Pisang serta dua buah kenderaan di Jalan Singgamata dilaporkan dihanyutkan arus banjir.

Penduduk memaklumkan banjir kilat sering berlaku di kawasan terbabit setiap kali hujan berterusan, dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, setakat jam tiga empat puluh petang, pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun, anggota bomba telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi memantau keadaan dan memastikan keselamatan penduduk.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan melalui kawasan berisiko ketika hujan lebat berterusan.

TAMAT

Share This Article