APM Sandakan Tumpaskan Ancaman Tedung Selar di Ladang

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 31 Jan – Kecekapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan berjaya meredakan situasi cemas di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 23 selepas seekor ular tedung selar ditemui bersembunyi di dalam tandas, sekali gus mengancam keselamatan pekerja.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke Ladang Minat Teguh milik KLK bagi menjalankan operasi kawalan hidupan liar.

Menurut beliau, ular tedung selar dianggarkan sepanjang 4.5 meter dengan berat hampir 10 kilogram itu berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dan prosedur keselamatan ditetapkan, termasuk pemakaian kelengkapan perlindungan diri lengkap oleh anggota terlibat.

“Operasi dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pekerja ladang dan anggota penyelamat, dan ular tersebut berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Operasi yang bermula sekitar jam 5.50 petang itu berakhir pada 7.36 malam, dengan kawasan disahkan selamat sebelum pasukan APM kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sandakan.

Tindakan pantas itu mencerminkan tahap kesiapsiagaan APM Sandakan dalam menangani ancaman hidupan liar serta memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article