LAHAD DATU,18 SEPT – Usaha pemulihan penghuni penjara perlu disokong secara bersama oleh keluarga, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, majikan dan masyarakat bagi membantu mereka kembali ke pangkuan keluarga serta masyarakat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Haji Mohammad Yusof bin Apdal, berkata proses pemulihan tidak boleh digalas Jabatan Penjara Malaysia secara bersendirian sebaliknya memerlukan ekosistem sokongan yang menyeluruh dan berterusan.
Beliau berkata, sokongan sosial, peluang pekerjaan, bantuan kebajikan serta bimbingan selepas pembebasan amat penting bagi memastikan prospek mampu meneruskan perubahan positif dalam kehidupan mereka.
Katanya, Program Outreach Korektif Peringkat Penjara Lahad Datu 2026 merupakan antara inisiatif proaktif Jabatan Penjara Malaysia untuk mendekatkan masyarakat dengan institusi penjara selain memberi kefahaman mengenai fungsi dan peranan sebenar institusi berkenaan.
Program yang berlangsung di Dewan Toh Puan Norlidah, Penjara Lahad Datu itu melibatkan 20 prospek bersama ahli keluarga masing-masing.
“Program berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan semula hubungan kekeluargaan dan menyediakan sokongan moral kepada prospek sebagai persediaan untuk kembali ke dalam masyarakat secara positif,katanya ketika berucap merasmikan Program Outreach Korektif Peringkat Penjara Lahad Datu 2026 pada jumaat.
Yusof berkata, institusi penjara kini bukan sekadar tempat menjalani hukuman sebaliknya turut berperanan sebagai pusat pemulihan komprehensif yang menyediakan pelbagai program meliputi pembangunan sahsiah, pendidikan, kemahiran, kaunseling dan pengisian kerohanian.
Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan tema Jabatan Penjara Malaysia, “Penjara Selamat, Berdaya Huni dan Menginspirasikan Harapan” yang memberi penekanan kepada peluang kedua untuk prospek berubah, memperbaiki diri dan kembali menjadi individu yang berguna kepada keluarga, masyarakat serta negara.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan keluarga sebagai antara faktor penting dalam membantu seseorang individu mengekalkan perubahan positif dalam kehidupan.
Katanya, kehadiran dan sokongan moral keluarga mampu menjadi sumber kekuatan serta motivasi kepada prospek untuk terus memperbaiki diri dan membina masa depan yang lebih baik.
Beliau berharap kerjasama strategik antara Penjara Lahad Datu dengan pelbagai agensi serta komuniti setempat dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pemulihan dilaksanakan secara lebih holistik, bersepadu dan berkesan.
