KOTA KINABALU, 31 Jan – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mempergiat usaha penguatkuasaan pasaran apabila seramai 72 pegawai ditugaskan menjalankan pemeriksaan di seluruh negeri, melibatkan sebanyak 727 premis perniagaan.
Hasil operasi bersepadu itu menyaksikan tujuh kes kompaun dikeluarkan serta-merta, masing-masing membabitkan lima kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta dua kes mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Sabah turut mengeluarkan dua naziran dan dua Notis Penentuan Maklumat Barangan (NPMB) kepada dua premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu bagi memastikan pematuhan peraturan ditetapkan.
Selain pemeriksaan rutin, pasukan penguat kuasa juga melaksanakan Ops Kesan 5.0 yang memfokuskan pemantauan ke atas barangan tertentu di pasaran. Bagaimanapun, tiada kes direkodkan melibatkan Ops Tiris 3.0, Ops Gasak, AMLA, aduan awam, tangkapan Orang Kena Tahan (OKT) mahupun operasi bersepadu lain.
KPDN Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti pencatutan serta memastikan hak dan kebajikan pengguna sentiasa dilindungi.
TAMAT
