SEMBILAN DITAHAN DALAM OPERASI NARKOTIK DI PUSAT HIBURAN BANDAR INDAH

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 29 Januari – Polis menahan sembilan individu dalam satu operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan dadah di sebuah pusat hiburan di kawasan Bandar Indah, Batu 4, awal pagi Khamis.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, dengan sokongan anggota Balai Polis Sandakan, menahan lapan warganegara tempatan terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, serta seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan dadah.

Menurut sumber polis, semua individu terbabit dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka disahkan positif dadah, dipercayai melibatkan methamphetamine, amphetamine (syabu) dan ketamin.

Susulan itu, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum ditempatkan di Lokap IPD Sandakan bagi tindakan lanjut dan siasatan susulan.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, yang menegaskan pendirian tegas polis dalam membanteras kegiatan pengedaran serta penagihan dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

TAMAT

Share This Article