KERINOV 2026 PLATFORM CUNGKIL BAKAT INOVASI, STEM GENERASI MUDA SABAH

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 25 JULAI — Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0 menuntut sistem pendidikan Sabah terus diperkasa bagi melahirkan generasi yang mampu menyesuaikan diri dengan landskap pekerjaan masa depan.

Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron, berkata perkara itu menjadikan penganjuran Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah 2026 semakin penting sebagai platform mencungkil bakat serta mengembangkan potensi generasi muda.

Katanya, karnival tersebut memberi peluang kepada pelajar mengetengahkan idea baharu, menghasilkan inovasi dan meneroka potensi diri selaras dengan keperluan tenaga kerja masa depan.

“Anak-anak yang berada di bangku sekolah hari ini bakal bekerja dalam bidang yang sebahagiannya belum lagi wujud pada masa ini.

“Justeru, sistem pendidikan tidak boleh lagi hanya menumpukan kepada penyampaian ilmu semata-mata, sebaliknya mesti melahirkan generasi yang berfikir secara kritis, kreatif, mahir menyelesaikan masalah, menguasai teknologi tinggi serta kekal berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Peluncuran Sekolah Madani ESSCOM dan Karnival Pendidikan Kerjaya,Inovasi dan Stem (KERINOV) peringkat Negeri Sabah tahun 2026 di Dewan Terbuka Abdullah Munshi SMK Sepagaya di sini pagi sabtu.

Jordan berkata pelaburan terbaik kerajaan bukan hanya membina infrastruktur fizikal yang moden sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pembangunan potensi modal insan.

Menurutnya, Karnival KERINOV 2026 menjadi medan penting dalam membina bakat saintifik, keusahawanan teknologi serta kepimpinan generasi muda Sabah.

Beliau berharap produk inovasi yang dihasilkan dan dipamerkan murid menerusi karnival itu dapat dikembangkan menjadi penyelesaian berkesan terhadap cabaran masyarakat, selain berpotensi dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkasa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital.

“Usaha ini penting bagi memastikan modal insan kelahiran Sabah berdaya saing dan mampu berdiri sama tinggi di pentas global,” katanya.

Jordan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik, rakan strategik industri serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan ekosistem pendidikan di Sabah.

Beliau berkata kerjasama antara kerajaan, sekolah, industri dan ibu bapa perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan serta modal insan Sabah dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.

Share This Article