Gempa Bumi Magnitud 6.8 Gegarkan Perairan Kota Kinabalu, Tiada Laporan Kerosakan Besar

sabahheadlines
1 Min Read

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2026 — Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengesahkan satu kejadian gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.8 telah berlaku di perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah, pada awal pagi Isnin.

Menurut kenyataan rasmi gempa tersebut berlaku pada jam 12.57 pagi dengan pusat gegaran dikesan pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat.

Kedalaman gempa direkodkan sekitar 678 kilometer di bawah permukaan laut.

Gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah termasuk kawasan pesisir pantai, selain beberapa lokasi di negeri Sarawak yang menerima kesan gegaran lemah.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan pemantauan berterusan bagi menilai sebarang perkembangan termasuk kemungkinan kesan susulan terhadap keadaan geologi dan keselamatan penduduk.

“METMalaysia akan terus memantau situasi ini secara rapi dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan termasuk ancaman tsunami,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai kerosakan besar atau kecederaan dilaporkan.

Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang serta mendapatkan maklumat sahih hanya melalui saluran rasmi METMalaysia termasuk laman web dan media sosial agensi berkenaan.

TAMAT

Share This Article