PUTATAN, 25 Jan — Seorang penunggang motosikal lelaki yang cedera parah dalam kemalangan di Jalan Kota Kinabalu–Papar, berhampiran Kampung Petagas, pagi tadi disahkan meninggal dunia selepas lebih empat jam menerima rawatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, mangsa berusia 49 tahun mengalami kecederaan serius apabila motosikal yang ditungganginya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta persendirian. Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 petang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengelak sebuah kereta persendirian di hadapannya ketika kejadian berlaku. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memandu secara berhemah. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Rif di talian 017-663 8278 bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, motosikal mangsa dilaporkan terbakar manakala pemandu kereta persendirian tidak mengalami sebarang kecederaan.
TAMAT
