11 MOTOSIKAL DISITA,SEORANG DITAHAN

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU,19 JULAI: Seorang lelaki ditahan manakala sebelas motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk di sini awal pagi ini.

Lelaki, 23, ditahan kerana disyaki menunggang motosikal dibawah pengaruh alkohol.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata operasi dari jam 10 malam hingga 2 pagi di Jalan Apas, Jalan Chong Thien Vun dan Jalan Kabota itu turut menyaksikan 24 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ia termasuklah memandu tanpa lesen, pengubahsuaian kenderaan, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, memandu bawah umur serta lesen memandu tamat tempoh.

Menurutnya, seramai 55 individu bersama 52 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

Manakala penunggang yang ditahan disahkan melebihi had kandungan alkohol selepas menjalani ujian Evidential Breath Analyzer (EBA II) sebelum ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wilynton berkata polis akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan lumba haram, samseng jalanan dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Share This Article