PROJEK GRID KUASA SARAWAK –SABAH PERKUKUH KESELAMATAN TENAGA BORNEO

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 24 Jan – Sabah dan Sarawak melakar satu lagi detik bersejarah apabila Projek Sambungtara Grid Kuasa Sarawak–Sabah dirasmikan hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), sekali gus menandakan pengukuhan kerjasama strategik kedua-dua negeri dalam sektor tenaga.

Projek berkenaan menghubungkan sistem elektrik Sabah dan Sarawak menerusi talian penghantaran 275 kilovolt (kV) Lawas–Mengalong, yang merupakan sebahagian daripada peluasan grid sejauh 326 kilometer melibatkan pembinaan 881 menara penghantaran serta infrastruktur sokongan berkaitan.

Sambungan grid ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada rakyat, malah membolehkan fleksibiliti operasi dua hala antara kedua-dua negeri bagi memenuhi keperluan permintaan tenaga yang semakin meningkat, khususnya untuk sektor industri dan pembangunan luar bandar.

Selain itu, projek ini membuka ruang kepada perkongsian sumber tenaga yang lebih cekap termasuk integrasi tenaga boleh baharu seperti hidro dan solar, sejajar dengan agenda Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta aspirasi ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Di peringkat serantau, inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pembentukan Grid Borneo, sekali gus mengukuhkan asas kerjasama tenaga di bawah BIMP-EAGA dan menyokong hasrat merealisasikan Grid Tenaga ASEAN pada masa hadapan.

TAMAT

Share This Article