SEMPORNA, 24 Jan – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan ditemukan meninggal dunia dalam satu kejadian kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.12 pagi itu,kebakaran melibatkan tujuh buah rumah setinggan jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya meliputi keluasan kawasan kira-kira 55 x 100 kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Rastam bin Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
Menurutnya, seramai sembilan anggota BBP Semporna terlibat dalam operasi pemadaman yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Asmaraie Noordanig.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera,”katanya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.57 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.05 petang selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa wanita berusia 58 tahun dikenali sebagai Munairaya binti Baluan, yang merupakan OKU penglihatan ditemukan meninggal dunia di dalam bilik rumah pertama yang dipercayai menjadi punca kebakaran.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Operasi turut dibantu oleh anggota PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air.
Siasatan lanjut berhubung punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dijalankan.
TAMAT
