SANDAKAN,24 JAN- Al-Quran bukan sahaja berperanan sebagai rujukan utama dalam pembentukan akhlak, malah menjadi wadah terbaik dalam memperkukuh perpaduan serta menangani cabaran kehidupan semasa, khususnya dalam era digital masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, berkata al-Quran seharusnya dijadikan kompas kehidupan agar umat Islam terus istiqamah, berdisiplin serta berpegang teguh kepada nilai-nilai murni.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sandakan yang berlangsung di sini, hari ini.
Menurutnya, penghayatan dan pengamalan al-Quran secara menyeluruh mampu melahirkan insan seimbang dari aspek rohani, intelektual dan sahsiah sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat serta negara yang harmoni dan diberkati.
“Al-Quran yang dibaca, dihayati dan diamalkan akan membentuk peribadi unggul serta memperkukuh hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Hazem berharap penganjuran majlis tilawah berkenaan dapat melahirkan umat Islam yang cemerlang, selain menjadi platform penting dalam mengembangkan syiar Islam.
Beliau turut menegaskan bahawa majlis tilawah bukan sekadar acara keagamaan sebaliknya merupakan wadah ilmu dan medan penyatuan ummah yang berperanan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam.
TAMAT
