SABAH ELECTRICITY SALUR REBAT ELEKTRIK RM10.4 JUTA BERMULA JANUARI 2026

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 27 Jan – Seramai 661,774 pengguna elektrik di Sabah dan Labuan menerima manfaat pemberian rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd, dengan jumlah pemulangan keseluruhan mencecah RM10.4 juta.

Sabah Electricity memaklumkan, rebat berkenaan akan dikreditkan secara berperingkat ke dalam akaun bil pengguna yang layak bermula Januari 2026, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi meringankan kos sara hidup dan menjaga kebajikan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, pelaksanaan rebat itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Electricity Supply Enactment 2024 dan Licensee Supply Regulations 2024 yang mewajibkan pembayaran faedah ke atas deposit tunai pengguna setiap tahun.

Menurut beliau, jumlah wang cagaran pengguna ditetapkan bersamaan dua bulan purata bil elektrik berdasarkan penggunaan enam bulan terakhir dan akan disemak secara berkala. Penyesuaian cagaran akan dibuat sekiranya berlaku perubahan ketara dalam corak penggunaan.

Beliau turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah serta memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan bagi memantau penggunaan elektrik dan mengurus perbelanjaan dengan lebih berkesan.

TAMAT

Share This Article