MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT DAERAH LAHAD DATU CUNGKIL BAKAT QARI DAN QARIAH

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 24 Jan – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lahad Datu telah berlangsung dengan jayanya di Jati Ballroom, Hotel De’Leon di sini, malam tadi.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Haji Abdul Razak bin Hamdin.

Turut hadir ialah Firuz Idzualdeen @ Benetty bin Mohd Dzul, Pegawai Daerah Lahad Datu merangkap Pengerusi Badan Dakwah Lahad Datu; Datuk Mizma binti Appehdullah, wakil Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN N.62 Silam serta Ustaz Sahijuan bin Sariul, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Lahad Datu.

Firuz Idzualdeen dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas penganjuran majlis berkenaan yang bukan sahaja mengimarahkan syiar Islam malah berperanan penting dalam menyemai kecintaan masyarakat terhadap Al-Quran.

Beliau berkata, penganjuran majlis itu bertujuan memperdengarkan bacaan Al-Quran di samping memilih wakil qari dan qariah dari Daerah Lahad Datu untuk bertanding ke peringkat Zon Tawau.

“Saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta atas kesungguhan mereka mempersembahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sekali gus berpotensi mengharumkan nama daerah ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Haji Abdul Razak dalam ucapannya menegaskan bahawa Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar sebuah pertandingan sebaliknya merupakan wadah untuk menghidupkan syiar Islam serta menghayati keindahan dan makna kalam Allah SWT dalam kehidupan seharian.

Beliau turut menyeru agar usaha memperindahkan bacaan dan penghayatan Al-Quran terus dipertingkatkan supaya ia sentiasa menjadi pedoman hidup masyarakat.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, barisan hakim serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut, selain berharap program itu dapat melahirkan qari dan qariah yang bukan sahaja cemerlang dari segi bacaan, malah berakhlak mulia.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Daerah Lahad Datu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu, bertujuan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran, meningkatkan penghayatan ajaran Islam serta mencungkil bakat qari dan qariah di peringkat daerah.

Sebanyak tujuh peserta mengambil bahagian dalam majlis ini terdiri daripada empat qari dan tiga qariah.

Penganjuran majlis seumpama ini dilihat mampu mengukuhkan hubungan silaturahim antara pihak pentadbiran, agensi berkaitan dan komuniti setempat di samping menjadi platform penting dalam melahirkan bakat-bakat Al-Quran untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

TAMAT

Share This Article