KOTA KINABALU, 24 Januari 2026 – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tussin berlepas ke Mesir hari ini.
Beliau ke Mesir bagi menghadiri Majlis Mahabbah bersama kira-kira 350 pelajar Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di negara itu.
Sepanjang lawatan berkenaan, Tun Musa dijadualkan merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di Akademi Antarabangsa Al-Azhar Al-Sharif yang disifatkan sebagai detik bermakna dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan keilmuan antara Sabah dan institusi Al-Azhar.
Sebelum berlepas dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 9.30 pagi, satu bacaan doa selamat dipimpin oleh Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Pengiran Mohd Hanif Awang Omar.
Turut hadir mengiringi keberangkatan ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta beberapa pegawai jabatan persekutuan dan negeri.
Tun Musa berharap lawatan tersebut dapat memberi manfaat, mengeratkan silaturahim dengan pelajar di luar negara serta memperkukuh hubungan dua hala dengan pihak di Mesir.
TAMAT
