TAWAU, 24 Jan – Projek tanaman nanas varieti MD2 seluas 30 ekar di Kampung Sungai Burung di sini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian komersial di daerah ini.
Projek yang diusahakan oleh Haji Zaini bin Hamzah itu berkeupayaan menghasilkan kira-kira lima tan nanas sebulan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan meliputi Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu dengan permintaan dilaporkan terus meningkat.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, komitmen tinggi serta prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh pengusaha telah meyakinkan kementerian untuk memberi sokongan berterusan terhadap projek berkenaan.
Menurutnya, melalui Jabatan Pertanian Sabah, kementerian bersetuju meluluskan pembinaan sebuah pusat pengumpulan dan pengredan hasil pertanian di ladang tersebut bagi memperkemas urusan pemasaran serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
“Pusat ini bukan sahaja akan membantu pengusaha dari segi pengurusan hasil malah berperanan memastikan kualiti nanas MD2 yang dipasarkan memenuhi piawaian serta keperluan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, projek seumpama itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor agromakanan meningkatkan pendapatan petani serta menjadikan pertanian sebagai satu industri yang berdaya saing dan mampan di Sabah.
TAMAT
