POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI LARIKAN KERETA BERSAMA DUA KANAK-KANAK DI SANDAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN,24 JAN – Tindakan pantas polis membawa kepada penahanan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes melarikan sebuah kenderaan yang dilaporkan hilang di kawasan Batu 32, di sini, pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kejadian berlaku apabila pemilik kenderaan meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin hidup untuk urusan singkat berhampiran sebuah stesen minyak, sebelum disedari kenderaan itu telah dilarikan.

Menurut beliau, ketika kejadian dua kanak-kanak berada di dalam kenderaan berkenaan namun kedua-duanya bertindak keluar dengan selamat sebelum suspek melarikan kereta tersebut.

“Hasil risikan dan maklumat yang diterima, Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mengesan dan menahan kenderaan terbabit di Pusat Pemeriksaan Daratan Jalan Sapi Nangoh, Beluran, pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan bersama kenderaan yang dilaporkan hilang dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, manakala semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak cuai dengan meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup serta sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak.

TAMAT

Share This Article