GURU DISIPLIN DIGANTI, SEKOLAH MOHON MAAF ISU GUNTING TUDUNG PELAJAR SMK SILABUKAN

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 19 Januari 2026 – Pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Silabukan mengadakan perjumpaan khas bersama ibu bapa dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membincangkan isu tular melibatkan tindakan menggunting tudung pelajar perempuan di sekolah berkenaan.

Perjumpaan yang berlangsung selama lebih empat jam itu diadakan di Dewan Serbaguna Solitaire Silabukan yang dipengerusikan oleh Pengetua SMK Silabukan, Abdul Wahit bin Ali Asgar.

Seramai 80 orang hadir terdiri daripada pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa, pelajar serta wakil PIBG.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu, Lajarudi bin Lajahidi, Yang Dipertua PIBG SMK Silabukan, Juliana binti Binjin serta guru disiplin sekolah, Siti Rabihah binti Rahlan.

Dalam perjumpaan itu, pihak sekolah menjelaskan bahawa tujuan utama sesi tersebut adalah bagi meredakan keadaan serta menyelesaikan isu yang menjadi tular di media sosial khususnya di Facebook sejak 17 Januari lalu.

Pengetua dan guru disiplin turut menjelaskan bahawa beberapa maklumat yang diviralkan adalah bercanggah dengan situasi sebenar.

Menurut pihak sekolah, tindakan disiplin tersebut diambil susulan pelanggaran peraturan pemakaian pelajar seperti tudung terlalu singkat atau terlalu labuh, pakaian ketat serta berfesyen.

Tindakan berkenaan jelas pihak sekolah dilakukan selepas beberapa kali peringatan diberikan kepada pelajar sejak akhir sesi persekolahan 2025 selaras dengan peraturan pemakaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Seramai 41 pelajar perempuan daripada Tingkatan Tiga, Empat dan Lima terlibat dalam insiden tersebut dengan pecahan melibatkan 24 pelajar Tingkatan Tiga, 10 pelajar Tingkatan Empat dan tujuh pelajar Tingkatan Lima.

Bagaimanapun, pihak pengurusan sekolah mengakui tindakan menggunting tudung telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa yang menganggap ia keterlaluan sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Sebagai langkah penyelesaian pihak sekolah memohon maaf atas kelemahan dalam pengendalian disiplin dan berjanji akan menambah baik pendekatan pada masa akan datang.

Guru disiplin yang terlibat turut bersetuju untuk menggantikan tudung pelajar yang telah digunting sebagai tanda permohonan maaf kepada pelajar dan ibu bapa.

Dalam perkembangan berkaitan Abdul Wahit memaklumkan bahawa pihak PPD Lahad Datu telah memutuskan untuk menukarkan guru disiplin terbabit ke sekolah lain demi kepentingan semua pihak serta bagi meredakan ketegangan yang berlaku.

Perjumpaan tersebut berakhir secara harmoni dengan persetujuan bersama dicapai antara pihak sekolah,PIBG, ibu bapa dan PPD dalam usaha memastikan kebajikan serta disiplin pelajar terus terpelihara.

TAMAT

Share This Article