AKTIVITI MANDI-MANDA BERTUKAR TRAGEDI , PEMUDA HANYUT DITEMUI MENINGGAL DUNIA

sabahheadlines
2 Min Read

​KOTA BELUD , 14 JUN– Aktiviti riadah sekumpulan rakan berakhir dengan tragedi apabila seorang pemuda yang dilaporkan hanyut dibawa arus deras di Sungai Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, ditemui meninggal dunia pagi tadi.

​Mangsa, Abner Lasmel, 24, ditemui oleh orang awam pada jam 7:00 pagi kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

​Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah terdahulu menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS NG999 pada Sabtu (13 Jun) jam 6:15 petang.

​Menurut laporan rakan mangsa, mereka sedang melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan berhampiran D’Lyna Lodge sebelum mangsa tiba-tiba dihanyutkan oleh arus sungai yang kuat lalu hilang dari pandangan.

Sebuah jentera tunda (Vigo) dan sebuah lori bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Thomas Bolu telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 32 kilometer dari balai

​”Setibanya di lokasi, pasukan bomba segera mengumpul maklumat dan memulakan operasi pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air (water surface search) di sepanjang aliran sungai,” kata Jurucakap JBPM.

​Operasi SAR yang memasuki hari kedua pada ahad akhirnya membuahkan hasil selepas badan mangsa ditemui oleh penduduk setempat.

​Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung (stretcher) sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

​Operasi menyelamat yang turut dibantu oleh tiga anggota PDRM itu diisytiharkan tamat sepenuhnya pada jam 10:20 pagi.

Share This Article