KUDAT, 17 Januari 2026 – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kudat menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir, susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat, pagi tadi.
Menurut laporan Sekretariat JPBD Kudat, operasi pemantauan dijalankan oleh Skuad Alpha dan Delta (B) bermula jam 8.00 pagi hingga 10.20 pagi khususnya di Jalan Tamalang dan Jalan Bangau laluan utama penduduk sekitar Kudat.
Pemantauan mendapati air telah mula naik di kedua-dua lokasi namun laluan masih boleh digunakan oleh kenderaan kecil dengan bantuan anggota penyelamat yang turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berisiko.
Sekitar jam 8.10 pagi anggota Skuad Delta memulakan pemantauan hotspot banjir di lokasi berkenaan. Empat anggota LLP ditempatkan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan kenderaan.
Aset dan logistik yang digunakan termasuk 1 unit LRV, 3 jaket keselamatan, dan 3 helmet.
Bagi paras air sungai laporan memaklumkan paras di Jalan Simpang Stesyen Sikuati kini berada pada tahap normal iaitu 0.0 meter antara jam 3.14 hingga 4.00 petang selepas paras waspada, amaran dan bahaya direkodkan lebih awal.
Keadaan cuaca di kawasan yang dipantau masih hujan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kawasan hotspot yang berisiko dapat dipantau dari masa ke semasa.
TAMAT
