sh@syamila salleh
KUDAT (8 Jun ): Dua bot pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Kuudat di sini semalam.
Kedua-dua ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen pengkapan ikan dengan menjalankan aktiviti kurang dari tiga batu nautika dari pantai.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, kedua-dua bot tersebut dikesan sekitar 2.6 batu nautika timur laut Muara Marina, Kudat hasil maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi sasaran dan mendapati kedua-dua bot sedang menarik pukat di kawasan yang dilarang,” jelas beliau.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat enam individu di atas salah sebuah bot, termasuk tekong dan dua awak-awak warga tempatan, manakala tiga lagi adalah warga Indonesia yang memiliki dokumen pengenalan diri sah.
Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot nelayan turut ditahan kira-kira 2.2 batu nautika timur perairan Tagumait sekitar jam 7.00 petang berdasarkan maklumat daripada sistem SWASLA.
Bot ini dilaporkan membawa sembilan kru termasuk seorang warga Filipina yang didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui.
“Secara keseluruhan, Maritim Malaysia berjaya merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis dan 2 tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan,” tambah Hasbullah.
Kesemua suspek dan hasil rampasan telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen penangkapan ikan serta Akta Imigresen 1959/63 berkenaan pemilikan dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak menceroboh kawasan larangan bagi menjamin kelestarian sumber marin negara.
TAMAT
