PAPAR, 4 Januari 2026 – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta dan sebuah pacuan empat roda di Jalan Pantai Lok Kawi–Kinarut, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.04 pagi sebuah kereta Proton Iswara dilaporkan bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton mengakibatkan Proton Iswara tercampak ke dalam parit manakala Mitsubishi Triton terbalik di lokasi kejadian.
Ketua Operasi, Marvin Domingo berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer yang tiba pada jam 4.13 pagi.
“Seorang mangsa dari Proton Iswara didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Menurutnya, empat lagi mangsa dari kenderaan Proton Iswara tercampak ke dalam parit akibat pelanggaran tersebut.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian itu, pemandu Mitsubishi Triton dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala seorang penumpang wanita mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta jentera EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan susulan.
Operasi menyelamat melibatkan 14 anggota bomba daripada BBP Putatan dan BBP Penampang serta dibantu oleh agensi lain termasuk PDRM, APM dan KKM kenudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi.
Sementara itu punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
TAMAT
