PENAMPANG, 13 Januari : Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di lot parkir Taman Suria Apartment, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pacuan empat roda (4WD) dan dua buah motokar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu 4WD berkenaan dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika memandu sehingga gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh motokar yang diparkir.
“Pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiada kecederaan fizikal dikenal pasti akibat kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala kes kemalangan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati serta mengutamakan keselamatan di jalan raya.
Polis turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keselamatan awam agar menghubungi pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
TAMAT
