Oleh: Syarmillah Salleh
TAWAU, 13 Sept – Cubaan menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau pada malam Khamis lalu.
Dalam operasi sekitar jam 10.40 malam, sebuah bot kargo tanpa nombor pendaftaran ditahan di kedudukan 1.1 batu nautika utara Tanjung Doris. Pemeriksaan menemukan 95 tong gas LPG tanpa permit sah di atas bot tersebut.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda mengesan pergerakan mencurigakan bot itu ketika rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di kawasan sempadan perairan yang dipercayai dari negara jiran.
“Bot dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 27 tahun bersama dua pembantu masing-masing berumur 29 dan 25 tahun. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri serta permit berkaitan barangan kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pemeriksaan lanjut mendapati muatan terdiri daripada 18 tong gas berlabel Petronas, 77 tong gas berlabel MyGas serta 22 gelen kosong dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM52,000.
Ketiga-tiga suspek bersama bot dan muatan ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen JPDS.
Menurut Ariffin, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan dalang sindiket serta memperketatkan kawalan di jeti haram dan rondaan pada waktu malam.
“Maritim Malaysia komited memastikan perairan Tawau bebas daripada aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang merugikan negara,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Tamat
