Dua Rumah Rosak, Tanah Runtuh Landa Kg. Kopungit

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ editor

KOTA KINABALU, 14 Sept —Dua buah rumah mengalami kerosakan dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Kopungit, di sini awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.12 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jentera bomba tiba enam minit kemudian dan mendapati berlaku beberapa runtuhan tanah di kawasan perumahan kampung tersebut.

“Maklumat daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memaklumkan sebanyak tujuh runtuhan tanah telah berlaku sejak semalam.

“Akibat nya dua buah rumah mengalami kerosakan namun tiada mangsa dilaporkan tercedera,” menurut kenyataan JBPM Sabah.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Sabah mendapati struktur tanah di kawasan berkenaan berada dalam keadaan tidak stabil dan berisiko mengalami runtuhan susulan sekiranya hujan berterusan.

Sebagai langkah keselamatan pihak bomba bersama agensi terlibat mengarahkan dua keluarga untuk berpindah sementara ke Balai Raya Kg. Kopungit.

“Penduduk sekitar kawasan cerun juga telah dinasihatkan untuk berpindah sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, Unit Dron bomba turut digerakkan ke lokasi bagi pemantauan dari udara, namun operasi tidak dapat dijalankan kerana kawasan itu dikategorikan sebagai Zon Larangan Terbang (‘No Fly Zone’) selain faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

Operasi diketuai PBK II Masri bin Gari bersama PPgB Mohammad Hannis Bin Moktar sebagai Komander Operasi Kanan manakala seramai lapan anggota dengan satu jentera FRT terlibat dalam operasi yang ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari.

Antara agensi lain yang turut membantu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains Sabah, serta wakil JKKK kampung berkenaan.

Tamat

Share This Article